Sunday, May 1, 2011

SummerCamp Anak Soleh Super 2011 ( Pendaftaran DIBUKA)

Salam Hormat dan Salam Inspirasi Untuk Semua Ibu bapa....


Kem Motivasi Cuti Sekolah JUN 2011

Salam hormat untuk semua ibu bapa. Bagi para ibu bapa yang mencari kursus latihan untuk pengisian bermanfaat bagi anak-anak sempena cuti sekolah Jun 2011 ini, Creative SQ bekerjasama dengan Masjid Wilayah Persekutuan berbesar hati  menjemput anak-anak anda menyertai Perkampungan Ilmu 3hari 2malam di Masjid Wilayah Persekutuan pada 1-3 Jun 2011. Program terbuka untuk anak-anak berusia 9-17 tahun ini bakal memberikan pengisian bermanfaat dan terbaik untuk melahirkan watak Anak Soleh Pelajar Cemerlang. Objektif Program adalah seperti berikut : 
  1. Mengenali potensi kecemerlangan dalam diri untuk melahirkan generasi khalifah Ulul Albab
  2. Menggilap potensi kecemerlangan yang wujud untuk melahirkan watak anak soleh pelajar cemerlang
  3. Memahami kaedah wudhu dan solat sempurna, asas fardhu ain termasuk pengurusan jenazah serta   pembacaan al Quran
  4. Mempelajari Teknik Smart Study  dan Tips Super Masa sebagai persiapan menghadapi peperiksaan
  5. Memahami cabaran remaja serta bagaimana menangani konflik pengurusan diri
  6.  
    TENAGA PENCERAMAH & JURULATIH
  1. Ustaz Azizul Asri Hj Ahmad Tajuddin
  2. Pegawai Hal Ehwal Islam Masjid Wilayah Persekutuan
  3. Trainer Luqman Hakim Ghazali
  4. Bro. Mohd Fadhli Johari
  5. Bro Shauqie Ibrahim
  6. Fasilitator dari UIAM, UM, KUIS dan UKM
     
ATURCARA PROGRAM 
Sila klik dua kali pada imej di bawah untuk paparan lebih jelas..




:: PENDAFTARAN DAN PEMBAYARAN ::


  1. KEPERLUAN PESERTA
    • Peserta lelaki - Pakaian bebas ( baju melayu, kemeja, tshirt, seluar sukan, slack dan kopiah
    • Peserta wanita - Pakaian bebas ( Baju kurung, t-shirt lengan panjang, tracksuit dan  telekung solat)
    • Alatan mandi, baju sejuk ( Jaket), bantal dan sleeping bag@toto ( Jika ada)
    • Ubat jika peserta menghidap penyakit tertentu

Rebutlah peluang untuk menjadi yang terawal mendaftarkan peserta untuk perkampungan ilmu dan sahsiah ini. Anda juga boleh daftar peserta dengan meninggalkan nama penuh peserta, umur dan no telefon di ruangan komen. Pihak Creative SQ akan menghubungi anda. Terima kasih. Salam Kecemerlangan


"Anak yang cemerlang lahir dari ibu bapa yang cemerlang"

Thursday, April 21, 2011

Seminar Kepimpinan Badan Beruniform 2011

Seminar Kepimpinan Badan Beruniform 2011
20 April 2011
SK Damansara Damai 1, Selangor Darul Ehsan
97 Kepimpinan Badan Beruniform, Kelab & Persatuan



 Dalam program ini, saya berkongsi 6 Tips Kepimpinan Super yang mesti dimiliki dan dipupuk dalam setiap peserta yang menjadi kepimpinan dalam badan beruniform, kelab dan persatuan. 6 Nilai tersebut adalah :

1. Be A Good Follower
2. Respect people
3. Hardworking
4. Super Character
5. Love by the people
6. God fear

Justeru, 6 nilai ini dikupas melalui diskusi, permainan dan modul kendiri supaya para peserta dapat memahami apa itu nilai kepimpinan.










Pihak Creative SQ Consultancy mengucapkan jutaan terima kasih kepada SK Damansara Damai 1 atas penganjuran program ini. Juga kepada YBhg En Mohradi b Mohd Muhlas selaku Guru Besar dan Cikgu Faizi ( Kaunselor) di atas layanan yang baik sepanjang kami berkunjung ke SKDD1.

Monday, April 18, 2011

Kem Teknik Belajar UPSR 2011

 Kem Teknik Belajar UPSR 2011
SK Kampung Bharu, KL
80 Pelajar UPSR 2011
Kem Rimba Ria Suara Hutan, Hulu Langat, Selangor


 Zikir munajat sebagai pelengkap diri pelajar muslim...

Creative SQ Consultancy berkampung selama 3 hari 2 malam di Kem Rimba Ria Suara Hutan bersama 80 bakal pejuang UPSR 2011 dari SK Kampung Baru, Kuala Lumpur dalam memperlengkapkan diri dengan persiapan untuk menghadapi UPSR. 
Alhamdulillah, para guru amat membantu kami untuk membimbing dan mengenali para peserta dengan patar belakang yang pelbagai yang membentuk corak pemikiran dan tingkahlaku mereka.
Fokus kami kali ini adalah mempasakkan matlamat yang jelas untuk berjaya, menanam semangat dan keazaman untuk mencapai sebanyak A yang boleh, memahami kaedah belajar kreatif di samping pengukuhan akhlak melalui solat berjamaah, zikir dan mengenali peribadi nabi s.a.w. 
 
 Bergambar kenangan bersama Guru Besar, Puan Zainab..

 Bersama peserta lelaki dan guru serta urusetia CSQ..

 Sesi penyampaian cenderahati..

 Aktiviti Solatlah di mana anda berada...

 Bersolat di atas pasir di tengah air mengalir..

 Aktiviti senaman pagi...

 Para guru SK Kg Baru yang sudi meluangkan masa...

 Sesi Seluhur Kasih Ibu...

Para pelajar memohon restu dari guru-guru...

Sekalung budi setulus hati kepada pihak Sk Kg Baru yang diketuai oleh Puan Zainab, Cikgu Ema ( Kaunselor) dan semua guru-guru lain yang sentiasa bersama peserta, memerhati dan memberikan teguran, melakukan aktiviti bersama dan berkongsi maklumat dengan kami dalam mendidik para peserta.

Thursday, April 7, 2011

Motivasi SPM dan Pelancaran Program Tuisyen Rakyat Selangor


 Tarikh   : 3 April 2011
Tempat  : SK Pandamaran Jaya, Pandamaran, Selangor
Kehadiran : Pelajar SPM dan ibu bapa yang terlibat dengan PTRS



Selepas kali pertama berpeluang bersama ibu bapa bakal calon UPSR 2011 di SK Pandamaran Jaya, saya sekali lagi bertamu di sekolah yang sama.
Kali ini bersama pelajar SPM 2011 dan ibu bapa mereka yang terlibat dalam Projek Tuisyen Rakyat Selangor. Subjeknya, motivasi persiapan pelajar dalam menghadapi SPM. Untuk ibu bapa yang hadir pula, fokusnya adalah berkaitan dengan sistem sokongan yang perlu mereka hidupkan sebagai pencetus semangat anak-anak.

Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sangat penting. Laluan pendidikan seseorang dibentuk hasil keputusan SPM. Bahkan laluan kerjayanya pada masa depan. Berikut adalah isi penting sesi pencerahan saya :
Ibu bapa
  • Sentiasa sebutkan harapan kita kepada anak-anak yang bakal menghadapi SPM. Biar mereka sedar bahawa mereka sentiasa mendapat kredit penuh daripada ibu bapa. Jangan biar mereka keseorangan dalam ujian penting ini.
  • Wujudkan sistem sokongan untuk anak-anak.Saya juga berkongsi teknik belajar kreatif bersama ibu bapa agar mereka dapat membantu memperkemaskan lagi persiapan anak-anak dalam menghadapi SPM 2011
  • Doa yang tidak putus adalah senjata berharga setelah pelajar berusaha bersungguh-sungguh.
  • Saya juga nyatakan kepada ibu bapa, jika pelajar gagal mencapai keputusan cemerlang setelah gigih berusaha, terimalah keputusan dengan hati terbuka. Tetap beri sokongan kepada mereka.
Di akhir program, saya meminta semua pelajar SPM bangun untuk memohon restu dari ibu bapa mereka. Sesi memohon restu ini sangat kritikal. Ada pelajar tidak pernah memohon restu dari ibu bapa mereka. Sebabnya, malu. Kenapa berasa malu? Kerana tidak biasa melakukannya.

" Mak, ayah, along nak ambil SPM tahun nie. Tolong doakan along. Restu along. Maafkan segala dosa along"

Pernahkan adik-adik atau ibu ayah saling mengucapkannya? Ayat tidak perlu sama dengan contoh di atas. Biar maksudnya sama walau struktur ayat berbeza.

Bagi yang belum pernah mengucapkannya, cubalah hari ini. Anda akan merasai nafas baru dalam mengeratkan hubungan bersama ibu bapa dan anak-anak.

Sekalung budi kepada En Suhaimi, Penyelaras N46 Dun Pelabuhan Klang,Cik Nurul Ima dari SUK Selangor & En Hadi kerana sudi menjemput saya . Alhamdulillah, saya dijemput sekali lagi untuk bersama 2000 pelajar SPM seluruh Selangor dalam pelancaran Projek TUisyen Rakyat Selangor peringkat Negeri yang akan disempurnakan oleh YBhg Menteri Besar Selangor di Auditorium Jubli Perak, Shah Alam pada 24 April ini.

Untuk semua adik-adik, berjuanglah untuk SPM..

"Success is a journey, not a destination"




Pelajar bersama ibu dalam sesi memohon restu


En Suhaimi memberikan ucapan perasmian

Merenung diri sebelum majlis memohon restu...

Saturday, April 2, 2011

Kem Motivasi & Jati Diri PMR 2011

2 April 2011
130 Pelajar PMR SMK Dato Mohd Taha, Gemencheh, Negeri Sembilan

Bersama barisan guru SMK Dato Mohd Taha yang begitu peramah dan ceria..gracias!

Saya memulakan perjalanan seawal jam 5.45 pagi dari Damansara menuju ke Gemencheh untuk bersama 130 adik-adik PMR. Seusai solat Subuh di Hentian Penchala Link, perjalanan diteruskan dengan pemanduan sederhana. Melalui Lebuhraya Persekutuan menuju ke Seremban akhirnya melalui exit tol Simpang Ampat. Saya bersama Ustaz Eddy melalui jalan kampung yang begitu indah dan mendamaikan hati. Sepanjang jalan menghijau rimbun dengan pepohon getah  diselangi pohon buahan seperti durian yang baru mengeluarkan bunga putiknya lantas mengingatkan saya pada kampung halaman di Perlis.

8.30 pagi kami tiba di  perkarangan Dewan Makan asrama sekolah. Hari ini saya mengendalikan 3 slot utama iaitu Membentuk Matlamat Diri, Jom Hebat dan Relung Hati Anak Soleh. Saya juga membuat sedikit pencerahan berkaitan Teknik Belajar sebagai panduan untuk para peserta memperkemaskini persiapan mereka menghadapi PMR 2011.

Aksi pelajar dalam slot mencari kawan...



Ternyata adik-adik PMR SMK Dato Mohd Taha begitu responsif, aktif dan komited sepanjang program. Terima kasih juga kepada Ustazah Nora, Ustaz Shahnun, Ustaz Zamsul dan semua guru-guru yang terlibat dalam menjayakan program ini. Sekalung budi setulus hati di atas layanan terbaik yang kami terima sepanjang bertamu di SMK Dato Mohd Taha.

Sekolah yang mendamaikan..pelajar yang menyenangkan..guru yang penyayang..terima kasih daun keladi..

Sri Damansara :: 10.00pm :: 2 April 2011


Wednesday, March 23, 2011

Berkesankah Peserta pulang dari Kem Motivasi?

"ALhamdulillah. Selepas ikuti program motivasi, anak saya dah tak lawan cakap saya lagi"

"Selepas ikuti kursus anak soleh, anak saya dah tak tinggal solat lagi"

" Ustaz, anak saya di dah berkali-kali hantar ke kem motivasi. Tapi perangainya makin teruk pulak"

" Ustaz, anak saya balik dari kem motivasi tu, dalam 2-3 hari nampak perubahannya. Tapi selepas tu, kembali seperti perangai lama. Apa harus saya lakukan?"

" Ustaz, saya tak kisah, asal anak saya ada aktiviti cuti sekolah ni. Sebab tu saya hantar dia ikut kem motivasi ni"

Ayat-ayat di atas merupakan antara persoalan yang selalu menerjah ke telinga saya sejak mula-mula terlibat dalam program pembangunan remaja  dari 2004 lagi. Peserta datang mengikuti kem atau rehlah motivasi selama 2-3 hari dan pulang memulakan rutin mereka. Dalam kursus, peserta diberikan pencerahan berkaitan nilai hidup dan teknik-teknik serta kemahiran yang pelbagai. Teknik belajar, teknik urus masa, kemahiran mengurus diri, konsep akhlak rasul, bagaimana menjadi anak soleh, teknik smart solat dan pelbagai lagi input berguna hasil perencanaan dan perahan minda para jurulatih yang bertungkus lumus bukan sahaja untuk memastikan peserta gembira mengikuti program, tetapi mendapat pengisian dan pulang melakukan agenda perubahan dalam hidup mereka.

Persoalannya, bolehkan program 2-3 hari dapat merubah peserta secara total? Sikap dan akhlak buruk seseorang yang telah diamalkan sejak sekian lama dalam hidupnya. Telah dilakukan setiap hari dan berulangkali. Apakah boleh dirubah dalam masa yang begitu singkat. Seorang anak yang tidak pernah solat atau culas solatnya, bolehkah dia istiqamah dengan solat selepas habis program? Seorang peserta perempuan yang tidak bertudung, bolehkan selepas habis program dia bertudung? Seorang anak yang merokok, bolehkah selepas habis program dia berhenti merokok? Bolehkah semua perubahan ini berlaku secara drastik?

Jawapannya secara adil, Ya. Seseorang itu boleh diubah tidak dikira tempohnya. Jika hidayah Allah datang mengetuk pintu hatinya, yakin dan pasti dia akan berubah. Saidina Umar r.a. tidak memerlukan masa yang lama untuk menerima kemuliaan Islam. Seusai bacaan surah Taha dari kekandanya, Hafsah,  Umar r.a. terpaku dan terarah kepada hidayah Allah s.a.w. . Tugas memberi hidayah ini Allah. Tugas mencari dan melakukan pencerahan kepada peserta ialah kita, ibu, ayah, guru dan masyarakat. Mungkin tugas ini mengambil masa yang singkat. Mungkin juga mengambil masa yang lama bergantung kepada penerimaan seseorang itu berdasarkan tahap pemikiran dan imannya, serta situasi persekitaran hidupnya dan juga siapakah insan di sekelilingnya.

Sejarah mencatatkan Abu Sufian lewat menerima Islam walau pun mengalirnya dakwah Rasulullah di segenap inci bumi Makkah dan Madinah.

Berbalik kepada persoalan penerimaan peserta terhadap input dan pengajaran sepanjang mengikuti kem motivasi , kita akan melihat beberapa situasi berikut :
  1. Peserta yang pulang dan berubah secara total
  2. Peserta yang pulang dengan perubahan yang sementara
  3. Peserta yang pulang tanpa sebarang perubahan langsung. Sama seperti keadaan mula-mula mengikuti kem.
Di manakah kategori anak-anak anda? Atau para pelajar anda?
Apa fungsi kem motivasi? Pada saya kursus motivasi ialah suatu persinggahan untuk para peserta memahami persoalan mengapa mereka perlu melakukan sesuatu dan juga bagaimana untuk mereka melakukan sesuatu. Contohnya mengapa mereka perlu belajar bersungguh-sungguh dan bagaimana mereka ingin mempraktikkan teknik belajar bersungguh sungguh. Atau persoalan mengapa mereka perlu mentaati ibu bapa dan bagaimana cara untuk mentaati ibu bapa. Atau persoalan mengapa mereka perlu menjadi remaja yang beragama dan bagaimana untuk menjadi remaja yang beragama.


Jadi, kem motivasi memberikan pencerahan kepada peserta tentang matlamat atau menjawab persoalan mengapa sesuatu itu perlu dilakukan. Kemudian diberikan teknik berkesan bagaimana melakukannya.


Kita pernah mendengar ungkapan " Tidak penting anda melakukan sesuatu, yang penting mengapa dan bagaimana anda melakukannya"


Atau ungkapan ini " Kita boleh membawa seekor kuda ke tebing sungai, namun kita tidak boleh memaksanya minum air"


Apa yang membentuk peribadi anak-anak kita selama ini? Kalau kita melihat seorang pelajar yang baik akhlaknya, hebat amal ibadahnya, cemerlang keputusan akademiknya. Sudah pasti kita akan lihat 3 faktor utama resepi kejayaanya iaitu persekitarannya, ibu bapanya dan rakan-rakannya. Persekitaran hidupnya yang dikelilingi dengan nilai-nilai yang baik hasil cerapan dari ibu bapa yang mempamerkan nilai kemanusian yang luhur dan ikhlas serta pengaruh rakan-rakan yang baik menjawab persoalan siapakah dia sekarang. Begitu juga dengan situasi seorang pelajar yang buruk akhlaknya. Sudah pasti 3 faktor tadi mengalami masalah dari aspek ekologi pendidikan hidupnya.


Justeru, apa perlu kita lakukan? Walau siapa kita, apa status dan taraf hidup kita, untuk memastikan anak-anak peserta mempunyai jangka hayat kesedaran yang berpanjangan sebaik sahaja pulang dari mana-mana kem motivasi sekali pun, ini cadangan saya :
  1. Nyatakan pada mereka bahawa mereka insan yang baru. Kita juga akan sama berubah seperti mereka sekiranyanya situasi kita sama macam mereka.Biar anak-anak tidak merasakan beban melakukan agenda perubahan kerana ramai-ramai akan melakukannya. Kalau ingin anak lazimi solat, kita juga lazimi solat. Ingin anak belajar berkesan, beri ruang belajar kepadanya. Luangkan masa efektif bersama. 
  2. Kalau inginkan anak-anak mempunyai nilai-nilai yang baik, kita sebagai ibu bapa atau penjaga mesti berusaha menutup segala ruang dan pintu-pintu yang boleh membawa mereka kepada kerosakan. Pastikan dan awasi siapakah rakan mereka, ke manakah mereka selalu pergi, apakah kandungan web yang mereka lawati, apakah kandungan sms mereka, apakah bahan bacaan mereka. Lakukan dengan penuh strategi agar mereka tidak merasa terkongkong.
  3. Sentiasa berpesan apa kehendak kita. Berikan sentuhan kasih sayang sebagai seorang ibu dan ayah. Pamerkan yang kita seorang yang sabar, boleh dibuat kawan dan teman. Bukannya menjadi seperti radio buruk yang sukar dicari siarannya, tidak difahami suaranya dan sukar pula ditutup.
  4. Sentiasa berbincang suami isteri tentang perkembangan anak-anak. Hubungi guru mereka di sekolah dan berbincang. Boleh juga hubungi mana-mana pakar rujuk berkaitan untuk berkongsi pandangan. Libatkan diri dalam aktiviti mereka di sekolah jika diperlukan.
  5. Berdoa kepada tuhan. Tiada doa yang tidak diterima, tiada dosa yang tidak diampunkan dengan syarat, BERDOA.
Yakin dan percayalah...anak-anak yang hebat lahirnya dari ibu bapa yang juga hebat...


Sri Damansara. 1.47am




Monday, February 21, 2011

Sehati Sejiwa RTM1 - Ust Azizul Asri

Kem Motivasi Cuti Sekolah Mac 2011


Kem Motivasi Sahsiah Dan Teknik Belajar 2011


Salam inspirasi untuk semua. Cuti sekolah sesi Mac 2011 akan bermula pada 12 Mac 2011. Creative SQ Consultancy akan menganjurkan Kem Motivasi Cuti Sekolah . Program ini adalah kesinambungan dari Kem Motivasi Anakku Soleh yang berlangsung Disember 2010 di Masjid Wilayah Persekutuan dengan penyertaan 200 peserta. Program kali ini mempersembahkan modul dan pengisian "Teknik Belajar" dan "Konsep Sahsiah Rasulullah" yang disusun khas untuk membantu dan memacu kecemerlangan pelajar. Untuk ibu bapa yang ingin mengisi masa cuti sekolah anak-anak dengan pengisian studi kreatif dan penghayatan ruh Islam, kami mengalu-alukan penyertaan anak-anak anda ke perkampungan ilmu dan sahsiah sempena cuti sekolah Mac ini.





OBJEKTIF PROGRAM Dan MODUL






BAGAIMANA MENDAFTARKAN PESERTA?
  1. SMS nama peserta dan umur ke 019 303 9845 ( Ust Aziz) atau 013 633 3035 ( Ust Luqman ) atau hadir ke Pejabat Masjid Wilayah Persekutuan 
  2. Sila buat bayaran awal dan maklumkan sebaik sahaja pembayaran dibuat.
  3. Faks slip ke 03 6273 5131 atau email ke csq_training@yahoo.com atau serahkan pada hari program. ( Jika bayaran tunai dibuat dengan pihak MWP, sila simpan resit bayaran)


  4. KEPERLUAN PESERTA
    • Peserta lelaki - Pakaian bebas ( baju melayu, kemeja, tshirt, seluar sukan, slack, kopiah
    • Peserta wanita - Pakaian bebas ( Baju kurung, tshirt lengan panjang, track
    • Alatan mandi, baju sejuk, bantal dan sleeping bag@toto
    • Ubat jika peserta menghidap penyakit tertentu 
    •  
    •  
    • Aturcara Kem Motivasi Sahsiah & Teknik Belajar 2011

Sila klik pada gambar untuk besarkan imej


Rebutlah peluang untuk menjadi yang terawal mendaftarkan peserta untuk perkampungan ilmu dan sahsiah ini. Anda juga boleh daftar peserta dengan meninggalkan nama penuh peserta, umur dan no telefon di ruangan komen. Pihak Creative SQ akan menghubungi anda. Terima kasih. Salam Maulidurrasul ..

Thursday, January 27, 2011

Berbeza itu Bukan Berperang


Perspektif siapa yang betul?





Saya diberikan gambar ini oleh seorang penjual barangan perhiasan lelaki dan wanita di Chow Kit. Sementara menunggu pakcik cina itu mengetuk cincin yang saya beli mengikut saiz jari, dia menghulurkan beberapa keping gambar.

" U tengok ini gambar. Ini kotak melintang ke menegak?" Katanya.

"I sudah pening lah tauke" Ujar saya.

Setelah lama memerhati, barulah saya dapat melihat kotak ini dari perspektif pertama. Kemudian terkial-kial merubah sudut mencari perspektif kedua. Rupanya bila telah selesa dengan sudut 1, sukar pula untuk melihat dari sudut ke 2. Begitu juga sebaliknya.

Malam itu saya belajar sesuatu. Kadang-kadang sesuatu itu bukanlah berkisar persoalan betul atau salah, kalah atau menang. Ia hanya soal bagaimana kita melihat sesuatu. Sumber maklumat yang ada itulah yang mendasari cara kita membuat keputusan.

Perspektif berbeza menjadikan sesuatu keputusan itu lebih kuat nilai dan keabsahannya. 10 orang berbicang tentang sesuatu perkara akan menjadikan keputusan yang terhasil adalah yang terbaik.

Anak selalu mengatakan pandangan mereka yang betul. Mak ayah dikatakan tidak memahami kerana zaman mak ayah telah berlalu. Ibu bapa pula merasakan mereka betul semuanya.

" Ayah dah lalui zaman kamu"

"Mak makan garam lebih dulu dari kamu"

Bagaimana mencari solusinya?

Suami merungut isteri tidak sempurna. Isteri merungut kerana suami tidak membantunya dalam urusan rumahtangga.

" Abang nie balik rumah asyik tengok tv. Tolonglah tukar lampin anak tu. Saya sibuk memasak ni". Bebel si isteri.

" Aku nie dah penat balik kerja. Jalan jem. Kerja bertimbun. Balik rumah isteri membebel pulak". Geram suami dalam hati.

Perspektif siapa yang betul? Suami akan rasa dialah yang betul kerana dia penat bekerja untuk menyara keluarga. Jadi bila pulang ke rumah, adalah masa sedikit untuk berehat. Hal-hal rumah biarlah isteri yang selesaikan.

Isteri pula sudah pasti setuju tentang kepenatan suami bekerja. Namun isteri juga perlu bantuan suami uruskan rumahtangga & anak-anak. Takkanlah balik kerja penat-penat terus rehat di rumah jadi raja.

Lantas, bagaimana solusinya. Siapa yang betul? Atau adakah yang salah. Asasnya adalah memahami. As Syahid Hassan Al Banna menyebut kefahaman itu lebih utama dari melakukan amar makruf dan nahi munkar. Asas utama dalam menilai sesuatu atau membuat sesuatu keputusan ialah kefahaman. Itu rukun utama. Apabila kita faham dan cuba memahami, kita akan menjumpai suatu nilai bahagia iaitu keharmonian.

Kita sambung lagi insya Allah...

Monday, December 27, 2010

Tahun 2010 Yang Ditinggalkan

Tahun 2010 yang ditinggalkan..





Pejam celik-pejam celik telah hampir detik 2011. Banyak lagi azam 2010 yang belum dilunaskan. Bagi pelajar, detik 2011 bermakna sekolah akan dibuka. Kembali kepada jadual bangun awal, kerja sekolah, perhimpunan dan sebagainya yang kadang-kadang tidak diminati kebanyakan pelajar. Mengapa ia berlaku? Kerana cuti sekolah di"lanyak" habis habisan. Tidur lewat bangun lewat. Ber"iktikaf" sunat di kafe siber. Banyak luangkan masa bersantai dan tengok TV. Ada juga yang mengambil kesempatan bekerja mencari duit tambahan. Baca buku?Study? Rasanya sukar dijelaskan. 2011 mungkin tahun UPSR, PMR atau SPM bagi sebahagian pelajar, tetapi cuti sekolah tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Maka apabila tirai sekolah dibuka, rasa malas untuk ke sekolah dan kembali ke situasi belajar akan menyerang kita.

" Boleh rileks lagi nie. SPM hujung tahun. Lambat lagi".

"Belajar awal-awal pun buat apa, nanti lupa"

"Study nie kena relaks. Tak boleh gopoh"

Ini ayat "klise" pelajar. apa yang saya perhatikan, pelajar biasanya menghadapi masalah berikut :

  • Tiada matlamat belajar
  • Rasa malas nak mengulangkaji
  • Suka belajar saat akhir
  • Suka bertangguh kerana menyangka masa masih panjang
  • Suka membiarkan diri melakukan apa disukai berbanding melakukan apa yang patut dilakukan. Ingat, apa yang anda suka buat dengan apa yang anda perlu buat adalah berbeza.
"Jadi apa perlu saya buat cikgu?"

"Apa lagi? Pulang ke pangkal jalanlah!"

"Jalan mana pulak cikgu nie!"

Begini. Kita bermula denga perkara berikut :

  1. Jelaskan matlamat dan sasaran anda pada sekeping kertas dan letakkan di bilik tidur anda dan anda boleh melihatnya setiap hari. Matlamat mesti sesuatu yang boleh dicapai dan realistik.
2. Jadikan bilik tidur anda sebagai kem operasi peperiksaan. Antara yang perlu ada ialah, meja dan alat tulis yang mencukupi , countdown berapa hari lagi nak exam, jam dinding, cetuskan suasana bilik yang selesa untuk belajar ( warna terang dan lembut), bilik bersih, kemas dan harum. Jangan letakkan apa-apa selain dari buku dan alat tulis di atas meja belajar. Ada yang suka letak pembalut gula-gula, cawan kopi, tali leher, kunci, jam tangan, anak patung, duit syiling baju dan sebagainya. Ini sangat merbahaya. Meja jadi akan menjadi "rak serbaguna" dan bukannya meja study yang baik.

"Saya tak ada bilik lah".

"Saya kongsi bilik dengan adik"

Tidak mengapa. Yang penting ada sedikit ruang untuk dijadikan tempat belajar. Minta sokongan mereka untuk memberikan sedikit ruang privasi untuk kita belajar.

3. Tahu kedudukan anda.
Setakat mana penguasaan anda terhadap sesuatu subjek? Mana subjek yang telah dikuasai dan subjek yang paling tidak disukai. Senaraikan semua subjek peperiksaan tahun ini dan letakkan gred bagi setiap subjek mengikut tahap penguasaan anda. Contohnya subjek Sains buat masa ini grednya masih C. Atau Matematik A kerana anda minat matematik. Bahasa Melayu mungkin tahap B.

Setelah tahu kedudukan kita, strategi belajar berkesan harus bermula sekarang. Bunyikan semboyan Pecutan akhir sekarang juga. Jangan tunggu sehingga peperiksaan tinggal seminggu atau dua minggu baru nak memecut.

4. Mulakan strategi belajar berkesan
  • Memilih masa belajar yang sesuai dan jadual waktu belajar yang anjal dan efektif. Contohnya ulangkaji 30 minit rehat 5 minit atau ulangkaji 1 jam rehat 10 minit. Pilih waktu belajar yang kita rasa bertenaga dan lebihkan tumpuan untuk subjek yang lemah.
  • Bawa nota kecil ke mana sahaja anda pergi. Masukkan dalam beg atau poket. Isi masa kosong anda dengan membeleknya. Contohnya menunggu bas, sebelum guru masuk ke kelas, menunggu makanan yang dipesan, tengah beratur membeli makanan dan sebagainya
  • Input dan output learning. Pilih 4-5 orang kawan dan lakukan "study group". Belajar membuat nota melalui peta minda (mind maping). Teknik kuiz dan soal jawab sama ada berseorangan atau lebih efektif dengan teman. Ada juga mencadangkan supaya kita bercakap di hadapan cermin untuk meluahkan apa yang telah kita baca dan fahami.
  • Menggunakan teknik fisiologi belajar. Bagaimana? Mandi dahulu sebelum belajar. Berpakaian kemas, segak dan bersih. Tempat study mesti bersih dan kemas serta sejuk mata memandang. Duduk dengan sopan atau berdiri adalah adalah kaedah terbaik. Jangan study sambil berbaring atau melentang. Tunjukkan kesungguhan gaya belajar. Seolah-olah kita sedang ghairah untuk belajar.
  • Lupakan masalah sampingan lain ketika sedang belajar. Bergaduh dengan kawan, kena marah dengan ibu. Kesempitan wang dan sebagainya. Lupakan sementara dan fokus fokus fokus. Berfikir tentang masalah tanpa mencari cara menyelesaikannya adalah tindakan kurang bijak dan membuang masa. Belajarlah dalam keadaan tenang dan tidak tertekan.
Setakat ini dahulu. Jumpa lagi minggu depan dengan isu bolehkah belajar sambil dengar lagu...

Friday, December 3, 2010

Kem Anakku Soleh 2010

Barisan trainer & fasilitator untuk 3 edisi Kem Anakku Soleh 2010

Dari kiri- Shauqie, Dinie, Fadhli, Azizul, Luqman, Habib & Hafiz

Dari kiri - Awatif, Khadijah, Syairah, Aisyah & Atikah




Kem Anakku Soleh Di Masjid Sungai Buloh 29-30 Nov 2010


Kem Anakku Soleh di Masjid Wilayah 22-24 Nov 2010

Friday, October 15, 2010

Program Cuti Sekolah 2010 Kembali

"Demi Masa, Sesungguhnya manusia itu berada di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan yang berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran".
(al asr : ayat 1-3)

Untuk semua ibu bapa yang sedang mencari perkampungan ilmu dan sahsiah sempena cuti persekolahan 2010 ini untuk anak-anak anda, Creative SQ Consultancy menganjurkan Kem Motivasi Anakku Soleh di lokasi berikut :

OBEKTIF KEM MOTIVASI ANAKKU SOLEH
CARA PENDAFTARAN & PEMBAYARAN
PERALATAN YANG PERLU DIBAWA
  • Baju melayu, seluar slack & track, t-shirt dan kopiah ( Untuk lelaki)

  • Baju kurung, seluar track, t-shirt lengan panjang, telekung ( Untuk perempuan)

  • Alatan mandi, jaket & ubat jika diperlukan

PENDAFTARAN HARI PROGRAM

  1. Masjid Wilayah Persekutuan : Daftar pada 22 Nov (Isnin) jam 8.30pg di Anjung C

  2. Masjid Sungai Buloh : Daftar pada 29 Nov (Isnin) jam 8.30 pg di Lobi Utama masjid

  3. Masjid Saidina Othman : Daftar pada 4 Dis (Sabtu) jam 8.30 pg di lobi utama


ATURCARA KEM DI MASJID WILAYAH
(Sila klik pada imej untuk paparan lebih besar)



ATURCARA KEM DI MASJID BANDAR BARU SG BULOH DAN
MASJID SAIDINA OTHMAN IBNU AFFAN, BANDAR TUN RAZAK

(Sila klik pada imej untuk paparan lebih besar)



Panel modul CSQ Training & Consultancy telah menyusun modul terkini untuk memudahkan para peserta memahami segala pengisian yang disampaikan. Apa yang kami sampaikan adalah subjek yang diulang namun dikemaskini struktur dan penyampaiannya. Semoga kem motivasi cuti sekolah ini memberikan sesuatu yang terbaik dan berkesan untuk semua. Insya allah

"Manusia melakukan perkara yang berulang setiap hari. Jadikan perkara berulang itu menjadi terbaik dengan sentiasa memperbaikinya"

"Jika anda ada sebiji epal, saya ada sebiji epal, kita bertukar, masing-masing mendapat sebiji epal. Namun jika saya ada ilmu dan anda ada ilmu, kita bertukar, masing-masing mendapat dua ilmu"

Renungkan....
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...