Keberkatan Rezeki Pencetus Ketenangan Hati
Oleh : Azizul Asri Hj Ahmad Tajuddin
Firman Allah s.w.t :
Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi,(kemakmuran) tetapi mereka mendustakan [ayat-ayat Kami] itu, maka Kami siksa mereka (dengan kemiskinan dan kekacauan ) disebabkan perbuatannya. (Surah Al-’Araf (96).
Rezeki yang melimpah, halal dan berkat menjadi buruan utama manusia. Apatah lagi disertai dengan ilmu yang bermanfaat dan kedudukan yang mulia. Allah s.w.t. memberikan rezekiNya kepada semua makhluk di atas muka bumi sama manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan.
Dalam proses pemberian rezeki ini, Allah s.w.t. akan memilih di sisiNya sesiapa yang menggunakan rezeki yang diberikan pada keadaan dan jalan yang betul. Hal ini dapat dilihat dalam peristiwa Allah s.w.t menerima korban yang dipersembahkan oleh Habil dan menolak korban yang diberikan oleh Qabil.
Firman Allah s.w.t :
“Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua-dua putera Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya ketika mereka mempersembahkan korban maka diterima daripada salah seorang daripada mereka berdua (Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Qabil). Ia berkata (Qabil): Aku pasti membunuhmu! Berkata Habil: Sesungguhnya Allah (SWT) hanya menerima korban daripada orang yang bertakwa.” (Surah al-Maidah, ayat 27)
Ada dua perkara asas dalam persoalan mencari rezeki. Pertama mencari rezeki dan kedua menggunakan rezeki. Berkat pula ialah faktor pelengkap kepada proses mencari dan menggunakan rezeki yang dikurniakan oleh Allah s.w.t
Manusia cenderung memaknakan rezeki dengan harta benda dan duit. Sedangkan jangkauan rezeki yang diberikan oleh Allah s.w.t amat luas mencakupi semua manfaat yang diterima manusia. Selain harta benda, wang ringgit dan anak-anak, ketenangan hati dan kelapangan jiwa merupakan antara anugerah besar kepada orang yang beriman dan beramal soleh.
Firman Allah s.w.t :
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman, mengerjakan amal saleh, mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat, mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak pula mereka bersedih hati".
(Surah Al Baqarah : Ayat 277)
Sabda Rasulullah s.a.w :
“Sungguh mengkagumkan sifat orang mukmin. Apa sahaja keadaannya pasti baik. Ia tidak pernah dialami oleh sesiapa pun melainkan orang mukmin. Jika dia senang, dia bersyukur dan ia baik untuk dirinya. Dan jika dia susah dia bersabar dan itu baik untuk dirinya.” – Riwayat Muslim.
Dalam manusia mencari dan menggunakan rezeki, Allah s.w.t menciptakan suatu nilai untuk menjamin keadilan dan kebaikan kepada manusia yang dinamakan berkat.
Berkat asal dari perkataan Arab iaitu بركة (barakah) dan pekerjaan mengambil berkat diertikan" sebagai تبرك (tabarruk). Maka pengertian berkat membawa maksud bahagia, beruntung, bertambah dan berkembang.
Ar Raghib Al Isfahani (502H) mendefinasikan berkat itu sebagai :
البركة : ثبوت الخير الإلهي في الشيء
Maksudnya : Berkat itu ialah tetapnya kebaikan Allah s.w.t di dalam sesuatu.
Sudah tentulah berkat yang dibincangkan di sini bukannya “berkat” atau “barakat” sebagai mana yang difahami oleh masyarakat Jawa iaitu “nasi kenduri yang dibawa pulang sebagai bekalan”.
Antara contoh keberkatan yang Allah s.w.t berikan kepada manusia ialah keberkatan dalam belajar yang membawa kepada ketaatanNya dan kerendahan diri.
Keberkatan dalam usia yang dapat dimanfaatkan untuk agama sebagaimana para nabi dan ulama terdahulu. Keberkatan dalam masa iaitu terdapat saat-saat tertentu yang mustajab doa seseorang.
Keberkatan dalam makan minum yang terhasil dari perasaan cukup ( qana’ah) dan memakan makanan yang halal serta tidak membazir. Termasuk juga keberkatan pada tempat seperti 3 masjid utama iaitu Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjidil Aqsa.
Justeru, rezeki yang berkat itu membawa maksud suatu nikmat yang diterima oleh manusia dengan kebaikan yang banyak padanya. Harta yang dimiliki memberikan ketenangan hati. Ilmu yang dikuasai tidak meningkatkan kesombongan diri dan segala kelebihan yang ada pada diri manusia tidak dirasakan milik diri sendiri melainkan hanya pinjaman yang akan lupus apabila sampai masanya nanti.
Tenang & bahagia adalah sebab manusia mencari rezeki dan juga sebab manusia melakukan semua perkara dalam hidup
Setiap perbuatan kita sebenarnya menjurus kepada suatu perkara sahaja iaitu tenang dan bahagia. Penghujung kehidupan manusia yang didambakan ialah syurga. Kenapa syurga? Kerana di syurga ada ketenangan dan kebahagiaan. Sudah pasti tiada yang mengimpikan neraka kerana tidak ada ketenangan dan kebahagiaan di sana
Manusia makan kerana apabila perutnya lapar dia akan berasa gelisah dan tidak tenang. Seorang pelajar berusaha gigih untuk lulus dalam peperiksaan kerana jika dia gagal, perasaan malu kepada rakan-rakan serta menerima bencana kemarahan ibu bapa di kampung akan menjadikannya tidak tenang.
Kenapa anda berada di universiti? Ada yang menjawab kerana inginkan tahap pengajian yang baik. Dengan ijazah dapat memohon kerja dengan sejumlah gaji. Seterusnya berkahwin, beranak pinak, membeli rumah dan kereta, membina kehidupan yang selesa dan sebagainya. Semua itu menjurus kepada usaha seorang manusia memburu apa yang dipanggil sebagai ketenangan dalam hidup.
Manusia sanggup berbuat apa sahaja untuk mencapai ketenangan dalam hidup. Bahkan seorang pencuri dan perompak melakukan jenayah untuk memperolehi harta dengan sangkaan bahawa memiliki harta kekayaan walau pun dengan cara yang batil boleh membawa ketenangan hidup. Demikian juga seorang pembunuh yang membunuh seseorang kerana sesuatu tujuan, mungkin merasa puas dan menyangka akan tenang setelah matinya si fulan, namun sebenarnya ketenangan masih belum diperoleh.
Justeru, apa jua tindakan manusia sama ada baik atau buruk, matlamatnya ialah ingin mendapatkan kebahagiaan dalam hidup. Interpretasi berbeza terhadap kebahagiaan membuahkan tindakan yang berbeza mengikut fahaman seseorang manusia.
Antara Suruhan agama mencari rezeki
1. Mencari rezeki dengan matlamat hidup
Firman Allah s.w.t. bermaksud:
"Katakanlah. Sesungguhnya solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagi-Nya dan dengan yang demikian saja aku diperintahkan dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama (menyerah diri kepada Allah dan mematuhi perintah-Nya)." (Surah Al-An’am, ayat 162-163)
2. Halal dan baik
“Wahai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yg Kami berikan kepadamu”. (Al-Baqarah: 172)
3. Elakkan memakan harta orang lain
Firman Allah s.w.t :
“ Dan janganlah kamu makan harta-harta sesama kamu dengan jalan yang batil dan janganlah kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim-hakim dengan tujuan supaya kamu dapat memakan sebahagian dari harta orang lain dengan cara yang berdosa, sedangkan kamu mengetahui. (Al-Baqarah: 188)
Sayid Qutub menaqalkan tafsiran Ibn Kathir yang berkata: Ujar Ali bin Abi Talhah dan dari Ibn Abbas: Ayat ini mengenai seorang yang menanggung hak harta (orang lain) tetapi tidak ada bukti atau kesaksian yang terang yang boleh disabitkan ke atasnya. Lalu dia ingkarkan hak harta itu dan berguam di hadapan hakim-hakim sedangkan dia tahu bahawa dia sebenarnya menanggung hak harta itu dan sedar bahawa dia berdosa memakan harta haram.
Demikian juga diriwayatkan dari Mujahid, Said Ibn Jubair, ‘Ikrimah, al-Hasan, Qatadah, al-Suddi, Muqatil Ibn Hayyan dan Abd al-Rahman Ibn Zaid Ibn Aslam; mereka berkata: “Janganlah engkau berguam sedangkan engkau tahu engkaulah pihak yang zalim.”
4. Jangan membazir
Sabda Rasulullah s.a.w. :
“Tiada tempat yg yang lebih buruk yang dipenuhi oleh seseorang daripada perutnya, cukuplah bagi seseorang beberapa suap saja utk menegakkan tulang punggungnya; jikapun terpaksa, maka sepertiga utk makanannya, sepertiga utk minumannya & sepertiga lagi untuk bernafas”. (Hadis Riwayat Ahmad & disahihkan oleh Al-Albani).
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
”Makan dan minumlah kamu, dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang makan secara lebihan.” (Surah Al ‘Araf : Ayat31).
5. Bersedekah
Firman Allah s.w.t :
“Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat) supaya dengannya kamu membersihkan mereka (dari dosa) dan menyucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu akan menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. “(Surah al-Taubah, 103)
Faktor keberkatan rezeki yang membawa kepada ketenangan hati
Syukur
“Syukur itu ialah taat kepada Allah Taala dengan segala anggota, zahir dan batin, baik secara diam-diam atau terang-terangan” . (Ibnu ‘Abbas r.a)
Bertawakkal kepada Allah s.w.t. tanpa meninggalkan ikhtiar
Manusia disuruh berusaha untuk mencapai matlamat hidup mereka serta pada masa yang sama meletakkan Allah s.w.t. sebagai tempat pemutus segala keputusan. Sebab itulah hijrah Nabi dan Saidina Abu Bakar r.a. dari Makkah ke Madinah dilakukan dengan segala kepayana dan kesukaran sedangkan dalam peristiwa Israk dan Mikraj Rasulullah s.a.w dibawa menaiki Buraq.
Allah s.w.t. menguji manusia kerana dengan ujian hidup, manusia beroleh pahala dan ganjaran hasil usaha mereka. Sebagaimana ujian yang ditimpakan kepada Ammar Yasir dan ahli keluarganya serta para sahabat yang lain.
Sabda Rasulullah s.a.w :
“Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.)
Membahagiakan ibu bapa
“Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (Hadis Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)
“Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah) daripadanya.” (Hadis Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)
“Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah) daripadanya.” (Hadis Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)
Menunaikan hajat orang lain
“Carilah untukku orang-orang lemah kerana hanya kita diberi rezeki dan dibantu sebab orang-orang lemah dari kalangan kamu.” (Ahmad, Muslim, Ibnu Hibban, Al Hakim)
“Allah taala membantu umat ini hanyalah sebab orang-orang lemah mereka, sebab doa mereka, solat mereka dan ikhlas mereka.” (Riwayat An Nasaie, sahih)
Menunaikan solat dhuha“
“Allah taala membantu umat ini hanyalah sebab orang-orang lemah mereka, sebab doa mereka, solat mereka dan ikhlas mereka.” (Riwayat An Nasaie, sahih)
Menunaikan solat dhuha“
Firman Allah dalam hadis qudsi: “Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)
Berjimat cermat
Mengurus perbelanjaan diri dengan bijak serta mengikut keperluan bukan menuruti kemahuan. Disiplin diri atau principal centric serta berani berkata “ tidak” adalah formula asas dalam pengurusan kewangan diri agar tidak dibebani hutang atau fenomena “semester lebih panjang dari pinjaman”.
Bersungguh-sungguh dalam mencari rezeki
Dalam konteks pelajar, kesungguhan belajar dan membina kemahiran diri adalah kunci utama dalam menunjukkan kesungguhan mencari rezeki. Kesungguhan dan usaha yang berasaskan matlamat yang jelas menghasilkan generasi pejuang Islam yang bukan sahaja bekerja tetapi mempunyai daya fikir serta ruh perjuangan agama untuk menegakkan Islam.
Kesimpulannya
Firman Allah s.w.t :
“Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun, “Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik)
( Surah As-Syu’ara’: 88-89)
Allah s.w.t. menerima manusia di hari akhirat dengan hati yang sejahtera. Iaitu hati yang bersih dari semua kekotoran dan dosa. Proses pembersihan itu bermula sejak manusia itu lahir ke dunia. Mencari rezeki adalah salah satu cabang ibadah dalam hidup manusia. Dengan rezeki yang baik dan penuh keberkatan, manusia beroleh manfaat hati sejahtera sebagai lesen untuk bertemu dengan Allah s.w.t.
“Hati yang tenang dari rezeki yang berkat”
Siiru “ala barakatillah
AZIZUL ASRI HJ AHMAD TAJUDDIN
Sri Damansara, Kuala Lumpur
31 Januari 2012 / 2.00pagi
No comments:
Post a Comment