Bergambar di hadapan Dewan Seminar PPAJ. Dari kiri Ust Subhi (BMQ), Ust Azlim ( Rakan sepengajian di Universiti Malaya), Ust Hafizam dan saya.
Pada 21 Julai yang lepas, saya bersama Ust Subhi dari BMQ Training telah dijemput untuk membentangkan kertas kerja di Seminar Kepincangan Pegangan Agama, Keruntuhan Akhlak dan Gejala Sosial yang berlangsung di Pusat Pemantapan Aqidah JAKIM, Jelebu, Negeri Sembilan. Program ini dihadiri oleh 160 orang kepimpinan pelajar dari 8 buah sekolah di Daerah Jelebu. Saya berkesempatan membentangkan 2 slot iaitu Isu-Isu Aqidah Di Kalangan Remaja pada sesi pagi manakala pada sesi petangnya ialah sesi pleno iaitu Gejala Sosial Di Kalangan Remaja: Apa Sudahnya?. Ust Subhi mengendalikan sesi Pengaruh Agama Terhadap Pembinaan Akhlak Di Kalangan Remaja pada sesi kedua.
Kami bertolak seawal 6.30 pagi dari Damansara melalui Tol Sg Penchala & Kerinchi Link menuju ke plaza tol Bt 9, Hulu Langat untuk mengelak dari kesesakan jalan raya. Alhamdulillah, perjalanan dipermudahkan dan kami tiba di PPAJ kira-kira pada jam 8.00 pagi iaitu 30 minit sebelum slot bermula.
Sesi Pleno , pelajar diminta membentangkan 5 perkara yang akan dilakukan untuk membanteras gejala sosial jika mereka menjadi Perdana Menteri
Saya menggunakan pendekatan santai bersama pelajar untuk memastikan perhatian mereka terus melekat kepada pengisian yang disampaikan. Pelajar memberikan respons yang baik dari aspek bertanya soalan, mencatit nota dan memberikan tepukan kepada rakan-rakan yang bangun memberikan pandangan. Mungkin kerana kebanyakannya adalah pemimpin pelajar dan dari sekolah berbeza, maka semangat inkuiri dan adrenalin mengalir segar sepanjang sesi seminar.
Seminar biasanya ditanggapi sebagai sesuatu yang formal. Kertas kerja yang lengkap dan pembentang biasanya beroperasi satu hala. Saya bersetuju dengan semua itu namun apa yang saya rasa perlu dimodifikasikan khususnya apabila berhadapan dengan generasi muda yang sentiasa inginkan sesuatu yang menarik minat mereka, maka pendekatan atau manhaj bercakap perlu ditingkatkan. Seni artikulasi harus menarik perhatian mereka. Contoh-contoh yang diberikan perlulah contoh yang mereka hadapi setiap hari. Maka mereka akan lebih berminat dan memberikan perhatian kerana itulah isu mereka.
Berikut adalah isi kandungan pembentangan saya :
Slot I : Isu-Isu aqidah di Kalangan Remaja
- Maksud aqidah dari segi bahasa dan syarak
- Isu aqidah terbahagi kepada 2 iaitu lemah aqidah dan rosak aqidah
- Memahami kaedah iaitu melakukan dosa bermaksud lemah aqidah namun mempersoalkan dosa, mempertahan dan memperjuangkannya boleh merosakkan aqidah
- Isu-isu aqidah yang berleluasa di dalam masyarakat
- Lambakan cerita hantu dan tahyul
- Mempercayai bomoh, tangkal, sihir dan sial
- Kepercayaan terhadap sesuatu tanpa dalil Quran hadith atau logik sains (sunnatullah) seperti bergambar 3 orang akan mematikan seorang, kupu-kupu masuk rumah tanda ada tetamu, memakai benang hitam di lengan boleh menghentikan bayi menangis atau kencing malam dan pelbagai isu lagi
- Isu aqidah remaja ialah keterlibatan dan perlakuan gejala sosial seperti buang bayi, pergaulan bebas, lari dari rumah, buli, bunuh, dadah dan pil khayal dan sebagainya.
Saya memetik kata-kata Cat Steven " Budaya Barat seperti sebuah kapal yang akan tenggelam, namun aku melihat ramai remaja Islam berebut-rebut membeli tiket untuk menaiki kapal itu"
No comments:
Post a Comment