Tuesday, March 6, 2012

Membina Potensi Diri

MEMBINA POTENSI DIRI
Oleh : Azizul Asri Hj Ahmad Tajuddin
CSQ Training & Consultancy


“Perbezaan di antara manusia biasa dan manusia genius bukannya terletak pada gen, tetapi diri manusia itu sendiri. Menurut pakar neurosains, manusia biasa dan manusia genius berbeza dari segi sejauh mana mereka berjaya menggunakan potensi otak secara berkesan untuk mencapai sesuatu matlamat. Sekiranya kita tahu mengawal kuasa minda, kita bukan sahaja mampu menjadi manusia yang lebih pintar tetapi juga lebih matang dan bijaksana”

(Dr. Azlena Zainal & Dr. Munir Shuib : Buku Meningkatkan Potensi Minda)

Setiap manusia dilahirkan dengan kelebihan dan kekuatan tertentu. Begitu juga dengan kelemahan dan kekurangan tertentu. Tidak semuanya sempurna. Boleh jadi seseorang itu pandai dalam hal tertentu tetapi tidak dalam perkara yang lain. Boleh jadi seorang doktor pakar dalam bidangnya tetapi tidak mahir dalam pertukangan rumah. Termasuk juga seorang guru yang bijak dalam pengajarannya tetapi mungkin mengalami kekurangan dari aspek ilmu menangkap ikan. Walau pun makanan kegemaran cikgu tersebut ialah ikan.

Ada manusia yang dilahirkan tidak sempurna tetapi diberikan kelebihan tertentu. Mungkin seorang yang lumpuh dan hanya berkerusi roda tetapi memiliki bakat melukis yang hebat.  Susan Boyle, seorang wanita Scotland berusia 48 tahun mencatat sejarah dunia selepas memenangi tempat kedua rancangan realiti televisyen British’s Got Talent 2008. Suaranya yang merdu membayangi penampilannya yang kurang menarik serta dirinya yang pernah mengalami masalah learning disability suatu ketika dahulu. Albumnya terjual jutaan unit di seluruh dunia termasuk tontonan di laman youtube melebihi 500 juta kali menjadikannya jutawan hanya dalam tempoh setahun sehingga digelar sebagai voice of angel.

Allahyarham Prof. Datuk Dr. Ismail Salleh, pakar ekonomi dari kelompok OKU membuktikan kejayaannya sebagai orang buta pertama di dunia mendapat PhD sehingga diiktiraf dalam Guinness Book Of Record serta menjadi Ahli Dewan Negara. Termasuk juga menjawat jawatan sebagai CEO Twintech Holding, sebuah kolej pendidikan swasta di Lembah Klang.
Apa yang kita fahami dari beberapa contoh di atas ialah kelebihan seseorang itu terletak kepada bagaimana cara ianya diolah, digilap dan diasah menjadi satu kekuatan untuk mencipta kecemerlangan hidup. Kekurangan dan kelemahan yang dihadapi hanyalah suatu pelengkap dalam proses manusia mencapai matlamat hidupnya. Ia bukan penghalang tetapi adalah sesuatu yang menguatkan lagi kredibiliti dan profil seorang manusia. Seperti sebiji bola yang dibenam ke dalam air, semakin dalam dibenam akan semakin tinggi ia melonjak apabila dilepaskan. Begitu juga dengan dahan pokok yang dicantas. Semakin dicantas maka semakin banyak tunas yang akan tumbuh. Itulah analogi dalam memahami signifikan ujian, masalah, kelemahan dan kekurangan yang melintasi hidup manusia.

Kelebihan semulajadi

Ada manusia yang diberikan kelebihan semulajadi seperi kemahiran artikulasi dan penyampaian, melukis, bersuara lunak merdu, berpenampilan menarik dan seumpamanya. Kelebihan ini dalam keadaan tertentu digunakan sebaik mungkin untuk mencapai matlamat hidup. Ada juga manusia yang gagal menggunakan kelebihan yang diberikan kepadanya dan akhirnya tersungkur dalam proses menjadi seorang manusia hamba kepada Allah s.w.t

Kelebihan yang dipelajari

Di sebalik semua itu, ada kelebihan dan potensi yang tidak ada pada seseorang tetapi boleh dipelajari. Kemahiran dan potensi soft skill adalah sesuatu yang boleh diasah, dilakukan secara pengulangan dan diperbaiki kelemahan serta kekurangannya sehingga menjadi kelebihan yang memanfaatkan. Boleh jadi seorang yang tidak mahir dalam ilmu pembicaraan atau public speaking, menjalani latihan intensif serta kesungguhan, akhirnya menjadi seorang pemidato yang hebat. Seorang pakar renang juga tidak lahir sebagai pakar renang. Seperti Datuk Lee Chong Wei, tidak lahir sebagai bayi yang sudah boleh bermain badminton tetapi menjalani siri latihan dan pengulangan yang akhirnya menjadikan beliau juara dunia. Ungkapan ini sesuai untuk difahami bagi seorang yang tidak ada kelebihan tertentu dan putus asa untuk mendapatkannya.

“ Anda bukannya lemah dalam melakukan sesuatu, anda hanya sekadar tidak mengetahui cara dan teknik yang betul”

Kesimpulannya, teknik dan cara sesuatu itu dilakukan membezakan antara seorang manusia dengan seorang manusia yang lain. Keputusan peperiksaan anda berbeza dengan rakan anda yang mungkin lebih cemerlang kerana cara dan teknik yang anda lakukan berbeza dengan rakan anda tersebut. Sebab itulah, mengasah teknik dan menguasai kemahiran berfikir amat kritikal. Seperti kata seorang pemimpin dunia :

“ Sekiranya saya diberikan masa 8 jam untuk menebang sebatang pokok, saya akan menghabiskan masa 6 jam untuk mengasah dan menajamkan kapak”

Berfikir dan merancang ditambah elemen kesungguhan melaksanakan sesuatu adalah resepi kejayaan bagi seorang juara. Adakah kewujudan anda di institusi ini pada hari ini dirancang? Apakah keputusan peperiksaan semester anda dirancang? Apakah anda merancang siapakah anda 5 tahun ke hadapan?

Firman Allah s.w.t :

“Wahai orang orang yang beriman, bertaqwalah kepada allah dan hendaklah setiap orang memerhatikan apa yang diperbuatnya untuk hari esok dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan”
Surah al Hasyr : Ayat 18

Potensi yang perlu ada dalam diri mahasiswa hari ini

  • 1.      Kemahiran berfikir dan analisis
  • 2.      Personaliti & perwatakan intelektual
  • 3.      Kemahiran berunding (Skills of negotiation)
  • 4.      Kemahiran berbicara
  • 5.      Kecemerlangan akademik dan kokurikulum bersepadu


Kesimpulan

Untuk membina potensi dan menggilapnya menjadi suatu senjata kecemerlangan, kita tidak harus menyempurnakan kesemuanya. Lakukan perubahan secara kolektif dalam ruang termampu serta diikuti kesungguhan untuk merubah diri. Seperti kata hikmah “

“Kesempurnaan itu bukanlah kerana anda seorang yang sempurna. Tetapi kerana anda melakukan yang terbaik. Itulah kesempurnaan”

Islam menggalakkan kesungguhan umatnya dalam melaksanakan apa jua perkara semasa hidup di dunia sebagai bekalan berkualiti untuk dibawa ke Padang Mahsyar.

Lakukan perubahan dalam hidup kita ke arah kebaikan. GIlap potensi kita sebagai bekal amal paling berharga.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...