Perspektif siapa yang betul?
Saya diberikan gambar ini oleh seorang penjual barangan perhiasan lelaki dan wanita di Chow Kit. Sementara menunggu pakcik cina itu mengetuk cincin yang saya beli mengikut saiz jari, dia menghulurkan beberapa keping gambar.
" U tengok ini gambar. Ini kotak melintang ke menegak?" Katanya.
"I sudah pening lah tauke" Ujar saya.
Setelah lama memerhati, barulah saya dapat melihat kotak ini dari perspektif pertama. Kemudian terkial-kial merubah sudut mencari perspektif kedua. Rupanya bila telah selesa dengan sudut 1, sukar pula untuk melihat dari sudut ke 2. Begitu juga sebaliknya.
Malam itu saya belajar sesuatu. Kadang-kadang sesuatu itu bukanlah berkisar persoalan betul atau salah, kalah atau menang. Ia hanya soal bagaimana kita melihat sesuatu. Sumber maklumat yang ada itulah yang mendasari cara kita membuat keputusan.
Perspektif berbeza menjadikan sesuatu keputusan itu lebih kuat nilai dan keabsahannya. 10 orang berbicang tentang sesuatu perkara akan menjadikan keputusan yang terhasil adalah yang terbaik.
Anak selalu mengatakan pandangan mereka yang betul. Mak ayah dikatakan tidak memahami kerana zaman mak ayah telah berlalu. Ibu bapa pula merasakan mereka betul semuanya.
" Ayah dah lalui zaman kamu"
"Mak makan garam lebih dulu dari kamu"
Bagaimana mencari solusinya?
Suami merungut isteri tidak sempurna. Isteri merungut kerana suami tidak membantunya dalam urusan rumahtangga.
" Abang nie balik rumah asyik tengok tv. Tolonglah tukar lampin anak tu. Saya sibuk memasak ni". Bebel si isteri.
" Aku nie dah penat balik kerja. Jalan jem. Kerja bertimbun. Balik rumah isteri membebel pulak". Geram suami dalam hati.
Perspektif siapa yang betul? Suami akan rasa dialah yang betul kerana dia penat bekerja untuk menyara keluarga. Jadi bila pulang ke rumah, adalah masa sedikit untuk berehat. Hal-hal rumah biarlah isteri yang selesaikan.
Isteri pula sudah pasti setuju tentang kepenatan suami bekerja. Namun isteri juga perlu bantuan suami uruskan rumahtangga & anak-anak. Takkanlah balik kerja penat-penat terus rehat di rumah jadi raja.
Lantas, bagaimana solusinya. Siapa yang betul? Atau adakah yang salah. Asasnya adalah memahami. As Syahid Hassan Al Banna menyebut kefahaman itu lebih utama dari melakukan amar makruf dan nahi munkar. Asas utama dalam menilai sesuatu atau membuat sesuatu keputusan ialah kefahaman. Itu rukun utama. Apabila kita faham dan cuba memahami, kita akan menjumpai suatu nilai bahagia iaitu keharmonian.
Kita sambung lagi insya Allah...
No comments:
Post a Comment