Wednesday, September 21, 2011

Kontroversi Hantu Bonceng : RM8 Juta dan Isu Aqidah : Ulasan saya

Filem Hantu Bonceng lakonan Zizan Raja Lawak berjaya mencatat kutipan kedua tertinggi (RM8Juta) selepas "KL Gangster (RM12 juta). Filem seram komedi ini telah berjaya menarik penonton ke panggung melalui aura Zizan selaku pemenang anugerah Pelakon Komedi Terbaik Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 dan juga pelakon wanita Juliana Evans.

Filem ini telah terpalit dengan kontroversi apabila terdapat satu babak di mana Zizan mengucapkan dialog asyhadu anna muhammadar.....terhenti seketika dan disambung perkataan syaitan. Seolah-olah ianya membawa maksud "Aku bersaksi bahawa Muhammad itu..syaitan"

Ramai orang telah mengkritik perkara ini terutamanya Dewan Pemuda PAS melalui ketuanya Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi yang mengatakan filem tersebut merupakan suatu penghinaan terhadap Nabi Muhammad secara khususnya dan juga kepada Islam amnya. Beliau juga mengutuk tindakan pengusaha filem dan stesen televisyen dan juga kementerian yang bertanggungjawab terhadap industri penyiaran kerana lambakan filem bergenre hantu yang semakin berlambak di pasaran hari ini.

Tidak kurang juga penulisan di blog dan surat khabar yang meminta pengarah filem ini, sutradara Ahamd Idham (Excellent Pictures) agar memohon maaf. Lembaga Penafisan Filem (LPF) juga dikritik akibat dikatakan terlepas pandang isu ini.

Saya memuji tindakan Zizan yang memohon maaf secara terbuka dengan menyatakan bahawa beliau tidak berniat untuk menghina Nabi Muhammad dengan tindakannya dan tidak perasan dengan kesinambungan skrip tersebut. Ahmad Idham pula dilaporkan menafikan isu berkenaan dengan mengatakan babak itu tidak ada apa -apa isu kerana beliau telah merujuk kepada empat pakar dalam bidang agama.

Pihak LPF melalui  Pengerusinya, Raja Azhar Raja Ahmad berkata, salah satu adegan dalam filem Hantu Bonceng sebenarnya tidak salah, bahkan boleh diberikan pelbagai tafsiran.

Raja Azhar berkata, ucapan yang dibuat oleh salah seorang Zizan dalam filem tersebut, TIDAK SALAH dari segi agama kerana ia bukanlah ayat penuh sebaliknya terhenti sebelum disambung dengan perkataan 'SYAITAN'. 
Bagaimanapun, Raja Azhar tidak menolak kemungkinan filem yang ditonton oleh pihaknya mungkin berbeza sedikit daripada apa yang kini ditayangkan di pawagam.

"Justeru kita akan meneliti sekali lagi babak yang dimaksudkan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS itu," katanya.

ULASAN SAYA

Pertama sekali tahniah kerana filem ini berjaya memperolehi RM8juta. Suatu pencapaian yang jarang untuk diperolehi dan syukurlah. Semua itu dari Allah s.w.t.

Seterusnya kita lihat bagaimana aqidah seseorang boleh terbatal. Ia dilihat melalui salah satu daripada 3 perkara iaitu perkataan, perbuatan dan iqrar (hati). Seseorang yang berkata sesuatu tentang agama, menghina kesucian Islam dan perkara yang berkaitan dengannya,  walau pun tanpa niat dikira batal aqidahnya.

Seseorang yang menyembah berhala, atau meletakkan tanda penghormatan di Tugu Negara pada hari pahlawan umpamanya, walau pun tanpa niat menyembah patung tersebut, juga membatalkan aqidahnya.

Begitu juga seseorang yang berniat dalam hati untuk keluar dari agama,atau merasai ragu atau tidak yakin dengan ajaran Islam, walau pun dia masih belum bertindak secara perkataan atau fizikal, boleh membawa kepada batalnya aqidah.

Justeru, apakah status babak yang dilakukan oleh pelakon tersebut? Adakah babak itu telah membatalkan aqidahnya? Atau pun dia telah murtad? Apakah pelakon tersebut perlu mengucap dua kalimah syahadah semula?

Saya berpandangan bahawa pelakon itu tidak batal aqidahnya kerana dialognya yang berbunyi "asyhadu anna muhammadar...terhenti dan kemudian disambung dengan perkataan "syaitan. Lagi pun beliau tidak berniat langsung dan telah memohon maaf kepada semua peminat atas apa yang telah berlaku.

Namun apa yang saya rumuskan di sini, babak itu boleh mengelirukan awam khususnya kanak-kanak dan remaja. Dan akhirnya membawa implikasi aqidah yang merbahaya. Jikalau pihak pengusaha filem tidak berhati-hati, pihak Lembaga Penafisan Filem pula culas, tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat, apa akan jadi kepada masa depan agama.

Dialog dalam filem akan sentiasa diingati, diulang-ulang dan disebut-sebut apatah lagi jika dialong itu mempunyai unsur komedi atau bersifat tarikan. Perkataan "Cubaan" yang disebut oleh Tan Sri P.Ramlee, S. Samsuddin dan Dato Aziz Sattar dalam filem Pendekar Bujang Lapok disebut hingga ke hari ini walau pun filem itu dihasilkan pada tahun 1959 (52 tahun lepas) bahkan dijadikan tajuk bagi rancangan "Cubaan"oleh Astro Oasis.

Lihat sahaja penangan filem "KL Gangster dan "Kongsi" yang baru sahaja selesai ditayang serta mengutip jutaan ringgit dari poket rakyat Malaysia. Dialog-dialog kasar yang diucapkan oleh pelakon-pelakonnya menjadi buah mulut kanak-kanak tanpa mengetahui bahawa apa yang kita selalu tuturkan akan membentuk jiwa dan pemikiran kita.

" Lu bising wa seengggat sama lu"
" KL ni kawe legend"
"Kiter bakor je" (Filem Hantu Kak Limah Balik Rumah)
Manisnya kurma ini ( Maharaja Lawak)
Gua tak goyang sama lu lah beb!

Apa berlaku sekiranya selepas ini ada kanak-kanak yang mengulangi dialog kontroversi dalam Hantu Bonceng itu tanpa berhenti seketika sebagaimana yang dilakonkan?

Maka dengan sebab itu, agama datang bukan sekadar menghukum tetapi mencegah. Agama bukan sekadar menghalang sesuatu tetapi membuka jalan yang lebih baik untuk sesuatu.

Walau pun babak itu tidak membatalkan aqidah, tetapi pengaruh dan kesannya sangat merbahaya untuk masyarakat khususnya kanak-kanak. Jangan berhumor dengan kalimah agama. Terlalu banyak perkara dan isu lain yang boleh dijadikan bahan gurauan tetapi bukan agama.

Saya rasa tidak salah untuk Ahmad Idham selaku pengarah filem Hantu Bonceng untuk memohon maaf kepada masyarakat yang telah memberinya RM8 juta kerana keculasan beliau dalam mencermati babak tersebut bahkan lafaz maaf itu akan menjadikan dia lebih dihormati serta akan mengasah sifat berhati-hatinya di dalam filem yang akan datang. Saya agak tertanya-tanya dengan kenyataan yang mengatakan beliau telah merujuk kepada empat pakar agama dalam isu ini. Ingin juga saya kenali siapakah "pakar agama" tersebut. Rujukan kepada pakar agama sekali pun tidak akan menjadikan seseorang itu kebal dari sebarang kesilapan kerana mereka juga manusia yang tidak terlepas dari sebarang kesalahan.

Saya bukanlah seorang yang anti filem bahkan saya suka menonton filem. Saya juga mengambil perhatian terhadap industri hiburan di Malaysia kerana saya berpandangan bahawa industri ini yang sekian banyak mencorak pola hidup dan pemikiran masyarakat. Drama dan filem mengajar tentang hidup bermasyarakat, kisah manusia dan konotasi yang berkaitan dengan sebab dan akibat (cause and effect)

Namun ianya harus diolah dengan baik agar apa yang diterima oleh masyarakat itu bukan sekadar suatu hiburan tetapi mengandungi pengajaran, nilai dan penghayatan hidup.


"Untuk pembikin seni : 

"Manusiakanlah manusia dengan karya anda"


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...